1.0 PENGENALAN
Profesion perguruan merupakan profesion mulia dan
mempunyai kehebatannya yang tersendiri bagi melahirkan masyarakat yang agung.
Sejarah telah membuktikan betapa golongan pendidik memainkan peranan yang
penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesuatu bangsa dan negara. Tugas guru
bukanlah sekadar mengajar subjek mata pelajaran sahaja di dalam kelas, namun
pada hakikatnya tugas guru merangkumi semua aspek perkembangan murid iaitu
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.
Profesion
perguruan merupakan profesion yang tertua di dunia dan kini memasuki satu lagi
era baharu. Peranan guru pada masa dahulu hanya tertumpu sebagai penyampai ilmu
semata-mata berbanding dengan sistem pendidikan pada masa kini, guru lebih
banyak berperanan sebagai pemudah cara dan seharusnya lebih bersedia dan peka
dalam melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan
berkesan. Selaras dengan perubahan peranan pendidik , guru harus lebih
inovatif, kreatif dan efektif dalam penyampaiannya serta sentiasa memikirkan
pendekatan baharu untuk mengadaptasikan amalan mereka dengan kehendak pelajar
sebagai ‘knowledge worker’ dalam era revolusi maklumat abad ke-21 ini.
Pendapat Liberman (1956), profesion merujuk kepada
suatu pekerjaan yang melaksanakan fungsi sosial yang penting. Untuk mencapai
fungsi tersebut, tahap kemahiran tertentu dan suatu pengalaman pengetahuan
sistematik berasaskan teori yang dipegang oleh seseorang individu diperlukan.
Suatu profesion ialah suatu bidang yang mempunyai ciri-ciri seperti kepentingan
kemahiran intelek, latihan ikhtisas yang mencukupi, khidmat yang diperlukan
oleh masyarakat, menikmati autonomi individu dan kumpulan, mementingkan mutu
perkhidmatan, mempunyai tatasusila perkhidmatan atau kod etika dan mempunyai
organisasi tersendiri untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan
pendidikan. ( Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah, 2010,M.s: 2-3 ).
Sementara itu, menurut Kamus Dewan pula,
‘profesion’ adalah suatu bidang pekerjaan khas yang memerlukan pendidikan dan
kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan yang khas. (contohnya :
perundangan, perubatan, perguruan dan lain-lain).
Tuntasnya, profesion perguruan memerlukan guru-guru
yang berkaliber dan berkeupayaan untuk menjunjung aspirasi dan hasrat kerajaan
bagi merealisasikan Falfasah Pendidikan Negara. Pengorbanan yang dilakukan oleh
para guru ini akan membantu negara melahirkan pemimpin-pemimpin yang bersifat
global dan berdaya saing.
Dewasa ini, dunia seolah-olah tidak memberikan
penghormatan sepenuhnya kepada guru seperti mana masa dahulu. Kini, integriti
seseorang guru diragui. Masyarakat seolah-olah tidak lagi mempercayai guru
seratus peratus. Malah terdapat segelintir ahli masyarakat menunding jari ke
arah pihak guru dan menyalahkan guru sepenuhnya atas kerosakan masyarakat yang
berlaku pada hari ini. Mengapakah hal ini terjadi?. Apakah kesilapan yang telah
dilakukan oleh guru sehingga masyarat sudah tidak lagi menyanjungi profesion
mulia ini?
Apabila kita mengkaji masalah ini, kita haruslah
meneliti dengan jelas kes-kes yang berlaku sehingga menyebabkan penghormatan
yang diberikan kepada guru tergugat. Untuk tugasan ini, fokus yang diberikan
adalah berkaitan dengan isu murid ponteng sekolah.
Sejak kebelakangan ini, peningkatan
kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah di Malaysia sama ada di peringkat
sekolah rendah ataupun sekolah menengah semakin meruncing dan perlu diatasi dalam kadar yang segera.
Masalah disiplin berlaku tidak kira sekolah di
kawasan bandar ataupun luar Bandar, sekolah harian biasa ataupun sekolah
berasrama penuh. Fenomena ini semakin merunsingkan banyak pihak terutamanya para guru dan ibu
bapa. Kes ponteng sekolah terutamanya
mencatat bilangan yang tertinggi berbanding kes-kes disiplin yang lain.
Isu ponteng sekolah bukanlah sesuatu yang baharu
dalam arena pendidikan. Ia telah lama wujud malah semakin serius kerana tiada
jalan penyelesaian yang efektif walaupun pelbagai langkah penyelesian telah
dilaksanakan sama ada bersifat undang-undang mahupun bukan undang-undang. Malah,
isu ponteng sekolah ini mendapat liputan hangat daripada pihak media massa.
Bukan itu sahaja, ponteng sekolah sering dikaitkan dengan masalah disiplin lain
termasuklah, isu merokok, melepak di
cafe siber dan pusat membeli –belah, kurang ajar dan sebagainya. Menurut
Timbalan Menteri Pelajaran,Dato Datuk Mahadzir Mohd Khir dalam Utusan
Malaysia (15 Oktober 2004), isu ponteng kini berada pada tahap kritikal dan
dianggap sebaga langkah pertama remaja memasuki dunia yang penuh dengan
masalah. Pelajar sekolah menengah terutamanya di peringkat usia 14 dan 15
tahun, dikenalpasti sebagai kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala
ponteng (Berita Harian, 2 April 2001). Walaupun masalah disiplin di Malaysia masih terkawal, namun gejala sosial
harus dipandang serius kerana ianya ibarat suatu virus yang menjadi titik tolak
permulaan kepada salah laku disiplin yang lebih besar seperti
vandalisme, gengsterisme, penyalahgunaan dadah, mat rempit, ragut serta
pelbagai aktiviti idak bermoral yang jelasnya akan meruntuhkan akhlak pelajar .
2.0 DEFINISI PONTENG SEKOLAH
Ponteng merupakan satu perbuatan
salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Ini bermaksud seseorang pelajar
dianggap ponteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang
dibenarkan pada hari persekolahan. Oleh yang demikian, ponteng merupakan
istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri kelas
di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah.
Menurut Kamus Dewan, ponteng
didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran.
Selain dari itu, ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah
tetapi tidak menghadiri kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas
ataupun kesemua kelas dalam satu-satu hari.
Menurut Rasidah Bt. Omar (2005) dalam
Azizi et. al. (2005) ponteng sekolah boleh ditakrifkan sebagai ketidakhadiran
pelajar ke sekolah tanpa sebarang alasan yang munasabah. Gejala ponteng sekolah selalunya dikaitkan dengan
masalah disiplin. Kamus Dewan (2000), disiplin membawa pengertian latihan
pemikiran dan kelakuan supaya ahli masyarakat atau individu boleh mengawal
diri, peraturan-peraturan yang telah ditetapkan untuk melatih seseorang
berkelakuan baik.
2.1 Kategori
Ponteng Sekolah
Fenomena gejala sosial adalah
satu tabiat atau tingkahlaku yang tidak dapat diterima oleh masyarakat terutama
oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Sehubungan dengan itu, ponteng sekolah dapat
dibahagikan kepada 2 kategori iaitu:
2.1.1. Ponteng Sekolah dengan Kebenaran
Pengertian ponteng sekolah dengan
kebenaran ini lazimnya dikaitkan apabila didapati seorang pelajar yang tidak
menghadirkan diri ke sekolah disebabkan oleh sesuatu yang tidak dapat dielakkan
dan di luar bidang kawalan sama ada secara sengaja atau tidak. Dengan syarat
pelajar tersebut mestilah membuat kenyataan sama ada dalam bentuk bertulis
iaitu melalui surat atau pemberitahuan secara lisan dibuat melalui panggilan
telefon atau disampaikan terus oleh saudara terdekat seperti ibu bapa atau
penjaga.
2.1.2 Ponteng Sekolah Tanpa Kebenaran
Pengertian ponteng sekolah
tanpa kebenaran pula bertentangan dengan ponteng sekolah dengan kebenaran.
Ponteng sekolah tanpa kebenaran ialah situasi pelajar yang tidak hadir ke
sekolah tanpa menyertakan sebarang apa jua bentuk penyataan sama ada secara
bertulis atau pemberitahuan lisan.
3.0 FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA GEJALA PONTENG
SEKOLAH.
Terdapat
pelbagai faktor yang menyebabkan gejala
ponteng sekolah dalam kalangan pelajar. Faktor-faktor yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah akan
dibincangkan dari lima aspek iaitu faktor ibu bapa, pengaruh rakan sebaya,
persekitaran, pelajar, dan sekolah.
3.1 Ibu Bapa
Salah
satu punca utama wujudnya gejala ponteng sekolah adalah disebabkan faktor
keruntuhan institusi kekeluargaan. Majoriti pelajar yang terlibat dengan
masalah ponteng sekolah ini datang dari keluarga yang bermasalah atau tidak
bahagia. Pertelingkahan yang timbul antara ibu bapa menyebabkan kebajikan anak-anak diabaikan. Kesannya
kepada anak-anak ialah segala perilaku anak-anak di luar rumah dan di sekolah
diabaikan.
Keadaan
ini menyebabkan anak-anak ketandusan kasih sayang dan berasa tidak diberi
perhatian oleh ibu-bapa mereka sehingga menyebabkan mereka memberontak dengan melakukan sesuatu perkara yang boleh menarik semula perhatian ibu
bapa mereka. kegagalan pelajar mengawal emosi menyebabkan konflik diri berlaku
sehingga pelajar sanggup melanggar peraturan sekolah seperti ponteng sekolah,
buli, merokok, vandalisme serta melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral seperti berjudi, mat
rempit, seks bebas demi menarik
perhatian ibu bapa mereka. Ini
menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempunyai pengaruh yang besar kepada
masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
Selain itu, faktor kesibukan ibu bapa bekerja
mencari rezeki tidak kira siang dan malam sehingga menyebabkan mereka
mengabaikan tanggungjawab utama mereka terhadap anak-anak. Malah, mereka
langsung tidak mempunyai masa untuk bertemu dengan anak mereka apatah lagi
berkongsi masalah, berbual, dan mengambil tahu perkembangan anak-anak di
sekolah. Kekangan masa bersama anak-anak ini
menyebabkan anak-anak berasa
terabai dan tidak disayangi sehingga memberikan kesan emosi seperti sedih,
marah, benci, geram. Apabila masalah ini membebani mereka, konsentrasi mereka
terhadap pelajaran semakin merosot dan
tidak berminat lagi untuk belajar. Malah, mereka akan berjinak-jinak mencari
keseronokkan di luar bagi mengubati kesunyian yang mereka alami. Anak-anak ini
akan berkawan dengan orang luar semasa mereka ponteng sekolah dan kesannya
‘kawan baharu’ ini akan mengajak mereka pergi ke tempat lain untuk berhibur
sehingga anak-anak ini tidak lagi mementingkan pelajaran. Oleh itu, pelajar
beranggapan dengan ponteng sekolah dan melepak dapat melupakan masalah yang
mereka hadapi.
Selain daripada itu, masalah kewangan
juga antara faktor menyebabkan gejala ponteng sekolah semakin berleluasa.
Sebagai contohnya, kegagalan dan ketidakmampuan ibu bapa untuk memenuhi
perbelanjaan sekolah seperti tidak dapat
melunaskan pembayaran yuran sekolah dan tidak mampu membeli peralatan dan
buku-buku pelajaran yang digunakan. Kajian yang dilakukan oleh Mohamad Yunus
(1977) menyatakan salah satu sebab berlakunya ponteng sekolah ialah ibu bapa
tidak mampu membeli peralatan sekolah seperti buku, alat tulis dan pakaian
sekolah. Pada masa yang sama ,pelajar menerima tekanan daripada guru apabila
sering bertanya tentang pembayaran yuran. Hal ini menyebabkan mereka berasa
malu dan tertekan untuk berhadapan dengan guru dan kawan-kawan lain. Justeru,
untuk melarikan diri dari tekanan masalah ini pelajar mengambil jalan mudah
dengan ponteng sekolah.
Faktor didikan daripada ibu
bapa dan ajaran agama yang kurang, turut menimbulkan masalah ponteng sekolah
yang kian menjadi-jadi itu. Ketika berada di rumah, anak-anak tidak dididik
oleh ibu bapa mereka dengan sempurna dan sikap tanggungjawab tidak diterap ke
dalam jiwa mereka. Ini secara tidak tidak langsung mempengaruhi pembentukan
peribadi mereka dan amalan ponteng sekolah merupakan satu tindakan tidak
bertanggungjawab dipraktikkan oleh mereka. Masalah didikan ibu bapa yang tidak
efektif kadang-kala boleh menyebabkan mereka tidak berupaya melakukan
penaakulan yang rasional mengenai kesalahan yang mereka lakukan serta baik
buruknya sesuatu perkara yang dilakukan oleh mereka. Ini membuktikan didikan
daripada ibu bapa yang kurang sempurna secara tidak langsung mempengaruhi
timbulnya gejala ponteng sekolah tersebut.
Tidak dinafikan
untuk membina keluarga harmoni dan kukuh bukanlah sesuatu yang mudah. Ibu bapa
perlulah mempunyai pengetahuan keibubapaan.Tetapi, apa yang menyedihkan ibu
bapa masa kini mempunyai pengetahuan keibubapaan yang cetek dan ia
mengakibatakan keruntuhan rumahtangga. Malah, terdapat juga ibu bapa yang lepas
tangan meletakkan tanggungjawab mengasuh anak-anak kepada pengasuh semata-mata.
Keruntuhan rumah tangga ini akan mengurangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa
menyebabkan mereka mudah terjerumus terlibat dengan salah laku disiplin di
sekolah.
3.2 Pengaruh
rakan sebaya
Pengaruh
rakan sebaya juga merupakan faktor yang mendorong pelajar ponteng sekolah.
Menurut Mohd Amin (1998), pelajar yang ponteng adalah mereka yang mempunyai
pendirian yang lemah. Lemahnya pendirian seseorang akan menyebabkan seseorang
itu mudah dipengaruhi oleh orang lain. Pelajar ialah remaja yang dalam proses
ingin mencari identiti diri maka mereka suka mencuba sesuatu yang baharu tanpa
berfikir panjang. Dalam hal ini, pelajar mudah menerima ajakan rakan sebaya
mereka untuk ponteng sekolah dan mempengaruhi minda mereka dan tidak berfikir
secara rasional. Biasanya, mereka akan
menurut segala pelawaan dan ajakan rakan-rakan tanpa berfikir panjang. Fenomena
ini berlaku kerana rakan-rakan yang
bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan yang dianggap munasabah bagi mereka. Sebagai
contohnya, pelajaran di sekolah dikatakan agak membosankan dan aktiviti ponteng
sekolah dianggap boleh menangani masalah itu serta merupakan aktiviti yang
menyeronokkan. Ini jelas menunjukkan pengaruh rakan sebaya berupaya mempengaruhi
seseorang pelajar untuk ponteng sekolah. Dalam hal ini, pelajar perlu bijak
memilih kawan yang baik dan ibu bapa perlu mengambil tahu dengan siapa anak
mereka berkawan untuk mengelakkan anak mereka berkawan dengan pelajar yang
bermasalah.
3.3 Persekitaran
Faktor
persekitaran juga turut mempengaruhi pelajar melakukan perkara yang negatif
terutamanya ponteng sekolah. Kemudahan-kemudahan untuk berhibur yang terlalu
banyak seperti pusat permainan video, pusat permainan snooker, kafe-kafe siber
dan pusat membeli-belah yang dibina berhampiran dengan kawasan sekolah
khususnya. Pembangunan pusat-pusat hiburan ini sebenarnya menyebabkan pelajar
lebih mudah lari dari sekolah dan
merayau-rayau di pusat membeli-belah.
Di samping itu, program-program yang
berbentuk hiburan dan konsert tempatan mahupun diimport dari barat amat
melekakan pelajar. Terdapat banyak rancangan-rancangan realiti televisyen pada
masa kini yang berkonsepkan hiburan dan menyimpang jauh dari sudut ilmiah dan
agama. Secara tidak langsung, pelajar mudah terdorong untuk mengamalkan cara
hidup berhibur semata-mata dan seterusnya melunturkan semangat untuk menuntut
ilmu di sekolah. Secara tidak langsung mereka turut dipengaruhi dengan
tanggapan bahawa kemewahan dan populariti dapat dicapai denagn mudah
seandainya mengikuti arus industri
hiburan. Ini menyebabkan mereka tidak berminat untuk belajar dan berpendapat
mereka boleh maju tanpa perlu hadir ke sekolah untuk menimba ilmu.
Realitinya,
hiburan yang melampau ini boleh membawa kepada salah laku yang lebih serius
seperti amalan seks bebas dan penyalahgunaan dadah. Penerbitan–penerbitan buku
bertemakan cinta remaja, majalah hiburan seperti Mangga , URTV hanya menarik
minat golongan muda kepada keseronokan hidup berpasangan. Penyiaran secara berleluasa
bahan bacaan picisian ini sebenarnya mengkhayalkan dan mempengaruhi pemikiran
pelajar. Secara tidak langsung langsung fenomena ini akan
meruntuhkan akhlak pelajar serta usaha melahirkan remaja yang berakhlak
berasaskan kehendak agama dan ketinggian nilai moral. Sepatutnya personaliti-personaliti dunia hiburan yang
ditonjolkan sebagai idola harus mempunyai akhlak yang baik untuk dicontohi.
3.4 Pelajar
Dalam
lingkungan usia pelajar sekolah menengah khususnya masih mengalami proses
perkembangan dan pertumbuhan yang pesat iaitu zaman peralihan alam kanak-kanak menuju ke alam remaja. Pada
ketika ini, ibu bapa seharusnya tidak mengambil sikap lepas tangan dengan
membiarkan anak-anak mereka merentasi zaman remaja begitu sahaja tanpa
mengetahui pergolakan yang dihadapi oleh anak-anak mereka.
Tempoh peralihan inilah merupakan suatu
masa yang penting untuk menentukan konsep diri mereka. Hal ini kerana, apabila
anak-anak melangkah ke alam dewasa, mereka sudah pandai berfikir, menilai
perasaan, mengkaji skrip hidup ibu bapa, mencuba sesuatu yang baharu dan
berkhayal. Selain itu, perubahan emosi
dan sosial mendorong pelajar membesarkan rakan sosialnya. Mereka meluaskan
rakan sosial dengan cara menyertai kumpulan tertentu atau membentuk kumpulan
baharu berdasarkan umur sebaya, hobi yang sama, prinsip hidup yang sama atau
taraf sosial yang sama. Pada ketika inilah pelajar berhadapan dengan situasi
genting dalam memilih rakan –rakan. Seandainya
tersalah pilih, maka mereka akan cenderung ke arah salah laku negatif
termasuklah ponteng sekolah. Ketiadaan bimbingan menyebabkan mereka beranggapan
mereka berada di jalan yang benar dan tiada siapa boleh menghalang perbuatan
mereka kerana pada pendapat mereka,
apa-apa sahaja yang dilakukan adalah betul.
3.5 Sekolah
Sistem pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik
antara alasan yang kerap diberikan oleh pelajar yang ponteng sekolah. Proses
pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik dan membosankan menyebabkan
mereka lebih suka ponteng sekolah daripada hadir ke sekolah. Keadaan ini
berlaku apabila sesetengah guru kurang proaktif dalam menarik minat pelajar.
Pemilihan strategi, kaedah dan teknik pemgajaran yang kurang menarik, di
samping tiada variasi aktiviti atau gerak kerja yang menarik. Malah, penggunaan
kaedah pengajaran tradisional iaitu ‘chalk and talk’ juga membosankan pelajar.
Pelajar masa kini, memerlukan kaedah pengajaran secara induktif dan gaya
pembelajaran konstruktivisme dan mempergiatkan aktiviti berkumpulan yang
berpusatkan murid Selain itu, penggunaan Bahan bantu mengajar secara interaktif perlu diaplikasinya untuk
mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Selain itu, guru perlulah
bersikap adil terhadap pelajarnya dan menunjukkan personaliti yang baik sebagai
‘role model’ kepada pelajar.
Sekolah merupakan tempat berlakunya
aktiviti pengajaran dan pendidikan kedua selepas ibu bapa. Ini bermakna guru
juga amat penting dan bertanggungjawab dalam membentuk sahsiah pelajar.
Mengikut Hussein (1993) pembelajaran yang berkesan datangnya dari suasana
sekolah yang tenteram, kerana ketenteraman itu amat kritikal bagi melahirkan
pencapaian yang baik dalam kalangan pelajar. Kewujudan suasana sekolah yang
positif dari segi kemudahan sekolah, pengajaran guru, kedudukan sekolah dari
aspek pengangkutan pelajar dan perlaksanaan disiplin yang efektif menjamin
pembelajaran yang berkesan dan mengurangkan kes-kes salah laku pelajar.
Setiap sekolah di
Malaysia telah diperuntukan dengan
jumlah kewangan yang besar bagi memastikan suasana sekolah berada dalam keadaan
selamat, ceria dan kondusif. Tetapi malangnya terdapat sebilangan sekolah gagal
menggunakan peruntukan ini bagi memastikan sekolah berada dalam keadaan yang
selamat, ceria dan kondusif. Sebagai contoh,. pagar-pagar yang sedia ada telah
rosak tetapi tidak dibaiki segera. Ini menyebabkan pelajar mudah untuk ponteng
sekolah dan keluar masuk sesuka hati. Kerosakan pagar di sekeliling sekolah
akan menyukarkan tugas guru untuk mengawal pelajar.
Faktor kawalan disiplin sekolah yang longgar juga memberi ruang
kepada pelajar untuk ponteng sekolah dan melakukan perkara-perkara negatif yang
lain. Badan disiplin sekolah termasuklah guru disiplin dan pengawas tidak
berfungsi dengan baik bagi membanteras kegiatan yang melanggar disiplin. Justeru, tugas guru bukan sahaja mengajar dan
mendidik, malah mereka juga perlu prihatin kepada perkembangan pelajar.
Ketidakprihatinan guru terhadap pelajar menyebabkan pelajar berasa tidak
dihargai dan tidak diberi perhatian. Ini
menyebabkan pelajar membuat perkara-perkara yang negatif bagi mendapatkan
perhatian guru mereka.
4.0 KESAN
PONTENG SEKOLAH
Ponteng sekolah sebenarnya
tidak pernah menjanjikan kebaikan dan keseronokan kepada pelajar. Malah, ia
mendatangkan keburukan pada diri pelajar itu sendiri. Antara kesan-kesan
negatif yang timbul adalah seperti berikut:
4.1 Pembaziran Masa Dan Tenaga
Kesan yang dihadapi jika
pelajar ponteng sekolah terutamanya adalah masa dan tenaga mereka akan
dirugikan kerana masa yang dibazirkan tidak akan dipulangkan ataupun dikembalikan.
Jika mereka dapat menggunakan masa mereka dengan baik iaitu tidak ponteng
sekolah dan mementingkan pelajarannya, mereka akan berjaya dalam masa yang akan
datang dan kejayaannya dapat memberi kehidupan yang lebih baik dan selesa
kepada generasi seterusnya.
4.2 Masyarakat Memandang Serong Kepada
Pelajar
Kesan kedua yang dihadapi
adalah masyarakat akan memandang rendah ataupun hina kepada mereka dan ini
secara tidak langsung akan memalukan maruah keluarga. Sebagai contoh, apabila
seseorang ternampak sekumpulan pelajar yang ponteng sekolah, satu-satunya
pendapat mereka terhadap pelajar tersebut adalah mereka adalah ‘sampah
masyarakat’ kerana mereka tidak dapat memberi perkhidmatan kepada masyarat pada
masa depan. Masyarakat juga akan memarahi ibu bapa mereka kerana mereka tidak
dapat mendidik anak-anak dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab mereka
sebagai ibubapa atau penjaga.
4.3 Masa
Depan Tidak Terjamin
Kesan lain yang akan dihadapi oleh
pelajar tersebut adalah mereka akan ditertawakan oleh rakan-rakan lain
sekiranya mereka gagal dan masa depan pelajar ini akan hancur kerana mereka
tidak lagi dapat dipercayai oleh masyarakat dan kesannya negara akan kekurangan
bakal peneraju yang berwawasan.
4.4 Menjejaskan Peratus Kedatangan Pelajar
Lazimnya para pelajar yang
kerap ponteng sekolah dengan sendirinya turut menjejaskan rekod kedatangan fail
peribadi pelajar. Kesannya lebih meruncing sekiranya peratus kedatangan pelajar
terbabit tidak mencapai syarat wajib kedatangan harian ke sekolah sebanyak 85%.
Justeru, berkemungkinan rekod peribadi pelajar akan dicatatkan tidak cemerlang
dari segi sahsiah.
4.5 Kesan Gejala Ponteng Sekolah Kepada Guru
Selain melihat kesan gejala
ponteng sekolah terhadap para pelajar sendiri, perlu juga dititikberatkan
berkaitan implikasi gejala ponteng sekolah kepada pihak sekolah terutamanya
guru-guru. Antara ada guru-guru yang merasa tertekan dengan perlakuan para
pelajar yang terlibat dengan gejala ponteng sekolah.
Mereka berasa kerugian kerana
tidak dapat memberi ilmu setaraf dengan pelajar lain kepada pelajar yang kerap
ponteng sekolah dan mengakibatkan kemerosotan terhadap corak pengajaran dan
pembelajaran di sekolah.
Selain
dari itu, gejala ponteng sekolah juga mengganggu proses pembelajaran pelajar-pelajar
lain dan merumitkan lagi tugas seorang guru kerana terpaksa mencuri masa untuk
mengulang kembali pelajaran yang tertinggal serta tidak difahami oleh pelajar yang
ponteng. Pelajar yang ponteng sering mengganggu kelas dan pelajar lain serta
memburukkan pencapaian mata pelajaran iaitu melibatkan keseluruhan tahap
pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran tertentu.
5.0 LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI GEJALA PONTENG SEKOLAH
Secara umumnya, untuk membasmi gejala ponteng sekolah
secara total adalah agak sukar untuk dicapai. Ini kerana ia melibatkan komitmen
daripada pelbagai pihak dan tindakan secara menyeluruh dan bersepadu
di setiap peringkat bagi memastikan penularan gejala ponteng sekolah.
5.1 Guru Dan Pihak Sekolah
Guru dan pihak sekolah antara individu yang
bertanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam menangani masalah ponteng sekolah. Hal ini kerana, antara salah satu alasan yang
diberikan oleh pelajar yang ponteng sekolah ialah kelas yang membosankan
menyebabkan mereka lebih suka ponteng dan melepak atau berpeleseran di pusat
membeli-belah dan pusat kafe siber. Guru seharusnya melihat alasan ini sebagai
cabaran untuk mereka berusaha melakukan sesuatu agar proses pengajaran dan
pembelajaran (p&p) berjalan dengan baik dan menarik. Proses p&p yang
menarik bukan sahaja akan membuatkan pelajar berminat ke sekolah tetapi akan
memudahkan lagi pemahaman mereka terhadap pelajaran. Pihak sekolah juga
perlulah mewujudkan suasana persekolahan dan pembejaran yang kondusif, dinamik
dan memberangsangkan. Pendekatan dan strategi p&p serta aktiviti perlu
dipelbagaikan dan diperbaharui untuk menjana perkembangan kognitif pelajar.
Selain itu, perbanyakkan pengunaan bahan bantu mengajar yang kreatif dan
menarik serta banyakkan aktiviti berpusatkan murid sesuai dengan gaya
pembelajaran kontruktivisme melalui
strategi berpusatkan murid bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan
inovatif dalam mencipta sesuatu yang baharu dan bijak dalam menyelesaikan
pemasalahan yang dihadapi. Hubungan interpersonal dengan pelajar perlu
diwujudkan. Malah, guru perlu mempunyai personaliti yang baik dan bersikap
profesional serta adil terhadap pelajarnya. Ini bermakna guru perlu menjadi
‘role model’ yang baik kepada pelajar.
Pada masa yang sama, pelbagai aktiviti menarik melalui aktiviti
kokurikulum seperti perkehemahan, Program rakan Muda dan Program Latihan
Khidmat Negara adalah wajib disertai
supaya pelajar dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah di samping
memperolehi banyak ilmu pengetahuan. Malah pelbagai kempen perlu giat diadakan
sama ada melalui media massa ataupun kempen
di sekolah yang bersifat memberi kesedaran kepada pelajar akan kesan
negatif gejala ponteng sekolah.
Selain itu, guru juga
perlu peka akan tingkah laku dan pergerakan pelajar dengan meluangkan sedikit
masa, walaupun dalam keadaan yang sibuk, untuk mengambil tahu tentang masalah
pelajar, memerhatikan perwatakan dan tingkah laku pelajar-pelajar di bawah
kawalannya. Sikap ambil berat guru ini, mungkin dapat mengesan dengan lebih
awal pelajar yang bermasalah. Tindakan yang bersesuaian dan tegas perlu diambil
agar pelajar yang bermasalah ini tidak terus hanyut dan dibiarkan
bersendirian. Di samping itu, pendekatan
bimbingan dan kaunseling perlu diaplikasikan relevan dengan sikap remaja yang
sensitif dan suka memberontak.
Semua guru di sekolah tidak kira guru kanan,
guru akademik biasa atau guru disiplin bertanggungjawab terhadap masalah
disiplin pelajar. Justeru, janganlah menunggu dilantik sebagai guru disiplin
atau guru kaunseling baharulah hendak mengambil berat tentang latar belakang
dan masalah pelajar. Semua warga sekolah
perlu sama-sama mewujudkan suasana yang positif untuk perkembangan jati
diri para pelajar yang meningkat remaja dan dewasa. Kesedaran dan komitmen
semua pihak akan dapat membanteras gejala ponteng sekolah secara berkesan. Malah
tanamkan suasana ‘Sekolah Syurgaku’ untuk mewujudkan rasa kepunyaan dan
keselamatan di sekolah.
Bagi merealisasikan keberkesanan tindakan dari
semua pihak di sekolah, adalah wajar sekiranya badan disiplin bergerak selari
dan seiring dengan badan-badan lain yang wujud di sekolah. Relevannya kerana
pencapaian seseorang pelajar dalam sesuatu bidang ini baik dalam bidang
akademik atau bidang bukan akademik, bergantung kepada tahap disipilin pelajar
itu sendiri. Pelajar yang berjaya dalam kehidupan sering dikaitkan dengan
mereka yang berdisiplin. Pembentukan disiplin di sekolah dilihat sama
pentingnya dengan penyebaran ilmu pengetahuan. Oleh itu, badan disiplin harus
bergerak dalam bentuk yang terancang dan sistematik bagi membendung masalah
yang akan timbul, seperti kata pepatah “membendung dan mencegah adalah lebih
baik daripada mengubatinya”.
5.2 Peranan Ibubapa
Langkah seterusnya ialah melalui peranan Ibu bapa. Ibu
bapa perlu memastikan anak-anak
benar-benar pergi ke sekolah. Apa salahnya, sekali-sekala ibu bapa menghubungi
pihak sekolah bagi memastikan samada anak mereka benar-benar pergi ke sekolah
ataupun sebaliknya. Ibu bapa juga perlu mempunyai hubungan baik dengan guru
demi kebaikan anak mereka. Kadangkala anak-anak ini baik di depan mata ibu bapa
tetapi sebaliknya di sekolah. Masing-masing akan ketakutan apabila mereka
ditangkap atas sesuatu kesalahan dan kebiasaannya mereka akan merayu agar
jangan diberitahu kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa pula sering tidak percaya
dan menafikan anak mereka melanggar peraturan sekolah. Anak-anak yang
bermasalah ini biasanya akan membawa dua perwatakan berbeza; baik di rumah
tetapi nakal di sekolah. Justeru itu, ibu bapa sewajarnya menjalankan
tanggungjawab mereka sebaik mungkin demi masa depan anak mereka sendiri.
Keluarga adalah unit
kecil dalam masyarakat, namun ia memberi sumbangan yang amat besar dalam
membina sesebuah negara. Kepincangan sebuah keluarga akan membawa kepincangan
sesebuah negara. Keluarga haruslah memberi keadaan persekitaran yang mempunyai
nilai keinsafan, adab, akhlak dan etika dan seterusnya akan berkembang baik
dalam generasi. Keluarga bertanggungjawab membentuk sikap, watak diri dan
wawasan bagi seseorang insan dan ini merupakan unsur utama dalam pembinaan
bangsa dan negara yang cemerlang.
Melalui institusi
keluargalah bermulanya peranan ibubapa dalam mencorak kehidupan anak-anak.
Anak-anak dilahirkan bagai kain putih
yang bersih. Guru yang pertama dalam hidup seseorang insan adalah ibubapa dan
keluarganya sendiri. Ibu bapa berperanan penting dalam membanteras gejala
ponteng sekolah ini. Ibu bapa seharusnya mencurahkan kasih sayang secukupnya
kepada anak-anak mereka. Kasih sayang bukanlah dengan hanya memberi kemewahan
kepada anak-anak tetapi perhatian dan asuhan yang baik. Sifat berdisiplin,
akhlak yang mulia, budi pekerti serta patuh kepada ajaran agama semuanya perlu
disemai dari rumah lagi oleh ibu bapa.
Kita seharusnya
menjadikan apa yang berlaku di Barat sebagai iktibar. Dunia mengakui akan kemajuan
mereka di dalam lapangan sains dan teknologi, kekukuhan ekonomi dan kecanggihan
teknologi dan ketenteraan. Namum, institusi kekeluargaan mereka sangat rapuh
dan terdedah dengan pelbagai penyakit sosial. Kita tidak mahu dalam keghairahan
masyarakat mengejar kemewahan asas, nilai dan kekukuhan institusi kekeluargaan
dilupakan.
5.3 Pelajar
Langkah untuk mengatasi gejala ponteng sekolah yang ketiga adalah melalui aspek sikap
pelajar di mana pelajar itu sendiri
perlu sedar betapa pentingnya pelajaran terhadap masa depan mereka. Tanpa
pelajaran, kebiasaannya seseorang tidak akan dapat pekerjaan yang baik dan masa
depan yang kurang terjamin. Tambahan pula, kelulusan akademik yang cemerlang
menjadi penanda ukur utama mendapat pekerjaan yang baik. Malah, persaingan
sengit untuk mendapat pekerjaan kerana semakin ramai pelajar yang pandai pada
zaman ini. Oleh itu, sekiranya mereka ketinggalan, jelaslah akan merugikan
mereka sendiri. Dengan keadaan semasa, di mana setiap orang mengejar kemewahan
dan kebendaan dan ia hanya dapat dicapai dengan pengetahuan, usaha, ilmu dan
pengalaman. Untuk itu, bagaimanakah seseorang pelajar yang sering ponteng
sekolah mempunyai masa depan yang cerah walhal mereka sendiri sudah ketinggalan
ilmu pengetahuan.
Pelajar perlu cekal dan mempunyai semangat jati diri
yang tinggi supaya mereka tidak hanyut dek arus kemajuan dan kemewahan yang
ada. Mereka perlu pandai memikirkan dan menentukan antara nilai-nilai positif
dan nilai negatif. Pelajar juga perlu menolak ajakan rakan-rakan untuk
melakukan perkara yang negatif kerana ianya hanya akan membuang masa dan
menyusahkan orang lain. Pelajar perlu sedar bahawa tanggungjawab mereka adalah
belajar dan menimba ilmu sebaik mungkin.
Sewajarnya, ketika usia
muda remaja inilah seseorang itu mengambil berat tentang pendidikan. Jangan
mudah terpengaruh dengan kawan-kawan atau orang asing yang berniat merosakkan
akhlak. Pelajar wajar mengikut contoh tauladan yang baik, menyertai ceramah
atau motivasi mengenai pelajar cemerlang, beriadah sebaiknya bersama keluarga,
aktif dalam kelab sukan yang diminati dan kokorikulum sekolah dan memiliki
didikan agama yang intensif dan lengkap.
Usia remaja tidak akan kembali lagi. Justeru itu, pelajar harus
menggunakan masa remaja ini sebaik mungkin demi masa depan yang terjamin.
5.4 Pihak Kementerian Dan Kerajaan
Langkah yang
keempat yang perlu ditekankan ialah
peranan pihak yang tertinggi dalam sistem Pendidikan Negara iaitu
Kementerian Pendidikan dalam menangani
masalah ponteng sekolah ini (sepertimana dalam lampiran surat dari kementerian
kepada jabatan pendidikan setiap negeri). Kementerian
boleh mewujudkan pasukan khas bagi menangkap pelajar yang ponteng
sekolah. Kementerian juga boleh bekerjasama dengan pihak polis dalam
membanteras gejala ponteng sekolah ini. Ini kerana, pelajar yang ponteng
sekolah ini mungkin akan terlibat dengan kes-kes jenayah lain seperti mencuri
dan meragut. Dengan adanya bantuan pihak polis, gejala negatif ini dapat
dibanteras lebih awal.
Selain itu, diharap
kementerian dapat membantu guru dengan menyalurkan lebih banyak peruntukan agar guru dapat lebih kreatif dan inovatif
dalam menjalankan proses p&p. Ini akan menambahkan lagi keberkesanan
penyampaian ilmu pengetahuan. Kementerian juga dapat membantu guru dengan
mengurangkan bebanan kerja sampingan supaya guru dapat fokus kepada proses
p&p dan perkembangan pelajar. Pada masa kini, tugas guru bukan setakat
mengajar malah turut dibebani lima tugas lain iaitu pertama; mengurus data, fail, buku rekod dan laporan;
kedua, urusan pentadbiran,
ketiga; kegiatan kurikulum, keempat; kokurikulum dan kelima; urusan hal ehwal murid. Dengan
kurangnya bebanan tugas ini, guru akan dapat membimbing pelajar dengan lebih baik lagi dan tidak membiarkan pelajar
hanyut dengan permasalahan mereka.
Kementerian juga boleh
membuat satu kajian yang menyeluruh berkenaan dengan sistem pendidikan dan
peraturan sekolah yang sedia ada. Ketika ini sistem sekolah lebih menjurus
kepada kecemerlangan akademik tetapi kurang ke arah kecemerlangan sahsiah. Ini
dapat dilihat masalah disiplin dan moral juga ketara di sekolah sekolah
berasrama penuh walaupun mereka yang belajar di situ terdiri dari mereka yang
terpilih.
6.0 KESIMPULAN
Konklusinya, semua pihak perlu bekerjasama dalam
menangani masalah ini ‘sebelum nasi menjadi bubur’. Demi
mewujudkan generasi dan modal insan yang lebih berguna pada masa hadapan, maka
satu langkah drastik daripada semua pihak patut dilaksanakan. Tindakan daripada
satu pihak sahaja tidak akan membuahkan hasil. Jadi, sama-samalah kita
berganding bahu untuk menangani masalah ponteng sekolah. Meskipun terdapat pelbagai cadangan mengenai cara
mana mengatasi masalah ponteng sekolah ini, namun ia hanya berakhir
di meja perbincangan, forum atau seminar. Sememangnya terdapat pelbagai program yang dirangka untuk
remaja dan pelajar tetapi ianya hanya memberi manfaat kepada
segelintir mereka sahaja dan lebih bersifat komersial. Ibu bapa,
guru-guru, dan masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama
dalam memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan para pelajar. Adalah wajar supaya pelajar didedahkan
akan kesan buruk dalam masyarakat melalui interaksi mereka di sekolah.
Golongan ini juga perlu didedahkan dengan pengetahuan
undang-undang agar mereka gementar dengan hukuman.
Pelajar dan remaja
adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara. Mereka
adalah aset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam
politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah disiplin
di kalangan remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga
manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu segala
masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan di atasi
supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap aset utama yang
merupakan sumber modal insan yang selaras dengan falsafah pendidikan negara
yang akan yang akan mempastikan kelangsungan kemajuan
dan keharmonian negara.
REFLEKSI
Alhamdulillah, syukur ke
hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, akhirnya saya berhasil
menyiapkan tugasan Kerja Kursus Projek (KKP) bagi subjek (EDU 3083) Asas
Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru ini. Telah terbayar rasanya,
segala usaha, penat lelah dan pengorbanan yang telah dicurahkan apabila tugasan
ini berjaya dihasilkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Sesungguhnya
tugasan ini merupakan sebuah wahana rintis ilmu yang saya kira amat baik untuk
direnungi dan dihayati.
Dunia pendidikan semakin mencabar pada hari ini.
Pelbagai isu yang berkaitan dengan guru dan keguruan sering dibincangkan
melalui media massa. Berdasarkan tugasan projek yang telah diberikan, pelbagai manfaat telah saya perolehi. Dengan
menyiapkan tugasan projek ini, saya dapat meningkatkan kefahaman tentang ruang
lingkup kerjaya sebagai seorang guru. Isu-isu yang berkaitan dengan guru dan
keguruan merupakan topik yang sering mendapat liputan menyeluruh oleh semua
pihak. Hal ini memberi pendedahan kepada saya untuk lebih matang dalam
menempuhi isu-isu yang bakal berlaku pada masa hadapan.
Tugasan projek ini mengkehendaki saya menganalisis, mengulas dan
mengutarakan pendapat berkaitan isu yang berkait dengan guru dan keguruan. Hal
ini sekaligus akan dapat mempengaruhi tindakan saya pada masa hadapan sekiranya
menghadapi masalah yang berkaitan dengan bertindak secara matang. Tindakan yang
diambil hendaklah berlandaskan kepada
profesionalisme sebagai seorang guru tanpa mengikut hawa nafsu semata-mata.
Malah, dengan adanya tugasan projek ini, saya dapat
berfikir secara kreatif dan kritis dalam menangani setiap masalah yang berlaku.
Hal ini disebabkan, bertindak tanpa berfikir akan mendatangkan kesan yang
negatif kepada individu itu sendiri. Jadi, setiap masalah yang berlaku akan
dapat diselesaikan sekiranya saya dapat berfikir secara kreatif dan kritis
dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian.
Sepanjang menyiapkan tugasan
ini, saya dapat menganalisis dan mengkaji secara lebih jauh bahan-bahan ilmiah
yang saya baca untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang isu ponteng sekolah
dalam kalangan pelajar yang menjadi tajuk kajian saya. Dengan analisis yang
lebih mendalam, saya dapat memahami isi pokok yang cuba disampaikan oleh
pengarang.
Selain daripada itu, melalui
pengkajian yang teliti tentang aspek isu etika keguruan, saya dapat menanam
rasa cinta akan bidang keguruan ini. Betapa banyaknya kesan gejala ponteng
sekolah yang dilakukan oleh pelajar baik kepada diri pelajar itu sendiri,
ibubapa, guru, sekolah dan masyarakat amnya. Saya melihat isu ini sebagai suatu masalah yang serius dan
amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak agar berganding bahu membantu
pihak sekolah menangani masalah ini.
Sepanjang usaha membuat tugasan ini, saya juga dapat belajar dengan
lebih mendalam tentang cara membuat blog yang sangat mudah. Walaupun perkara
ini telah dipelajari dalam semester yang lepas, saya seolah-olah meneroka ke
alam yang baharu. Maklumlah, hanya beberapa kali sahaja saya memuatkan bahan
dalam blog saya. Itupun kerana keperluan kerja kursus. Dewasa ini blog menjadi suatu medan luahan
idea dan pendapat oleh masyarakat.
Terdapat beberapa kesukaran
yang telah saya tempuhi semasa menjalankan kajian ini. Antara kesukarannya
adalah memilih tajuk kajian. Lambakan artikel-artikel mengenai isu keguruan
menyukarkan saya untuk memilih isu yang terbaik. Namun begitu masalah ini dapat
diatasi selepas melakukan perbincangan dengan ahli kumpulan yang nyata sangat
membantu.
Saya amat berterima kasih kepada pensyarah
pembimbing Encik Ridzuan b. Ahmad yang
telah banyak memberikan maklumat melalui penceritaan beliau tentang subjek (EDU
3083) Asas Kepimpinan Dan Perkembangan Profesional Guru di dalam kelas. Terima
kasih yang tidak terhingga juga kepada rakan sekelas yang banyak berkongsi
maklumat dan idea.
Saya mohon untuk share bahan ini, cikgu.
ReplyDeleteassalamualaikum. saya ingin membuat rujukan mengenai entri ini untuk tugasan saya. terima kasih. jazakallah khair.
ReplyDeleteassalamualaikum. saya ingin membuat rujukan mengenai entri ini untuk tugasan saya. terima kasih. jazakallah khair.
ReplyDeleteterima kasih..
ReplyDeleteSangat berguna , terima kasih:)
ReplyDeleteIsu dah dikenalpasti, faktor2 pun sudah disenarai, malah pelan intervensi pun dah ada.
ReplyDeletePersoalannya!
Ada tak Akta, Undang-Undang atau Peraturan Pendidikan yang boelh diambil untuk atasi masalah Ponteng?
Contoh:
Penjara atau Denda atau kedua2 sekali terhadap Ibu Bapa yang mengabai kabajikan anak2